Utusan Melayu, 21 November 2005
Teknik ekspressions luahkan perasaan kaum pribumi
oleh Rabaitul Adwiyah Koh Abdullah

YUSRI Sulaiman bersama karyanya.

YUSRI Sulaiman bersama karyanya.

MENGETENGAHKAN hutan yang diteroka, kehidupan orang asli dan binatang liar jelas mengajak khalayak untuk mengamati kehidupan orang asli yang makin terhakis akibat pembangunan.

Menyedari hakikat itu, pelukis muda Yusri Sulaiman menggunakan teknik ekpressions untuk meluahkan perasaan bagi menggambarkan kaum pribumi itu masih hidup dalam serba kekurangan.

Beliau membawa satu perasaan empati terhadap isu persekitaran dalam karyanya kerana ia dianggap dapat mewujudkan simpati masyarakat tentang nasib Orang Asli.

Katanya, mereka kini sukar menyara kehidupan dan binatang-binatang liar seperti harimau yang kian puas akibat penerokaan hutan.
“Saya tinggal berhampiran kawasan perkampungan orang asli sejak kecil lagi dan kehidupan mereka amat susah.

“Perasaan ini lahir dalam hati saya dan saya meluahkan simpati itu dalam lukisan,” katanya ketika ditemui pada pameran solo Hutan di Wei-Ling Gallery, Brickfields di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran itu berlangsung sejak 24 Oktober hingga hari ini.

Sebanyak 15 buah lukisan dipamerkan pada pameran tersebut.

Karya menarik yang dipamerkan ialah Kakay, Kantan, Guintoy, Sekul, Dafal dan Tok Batin. Ia membawa makna yang tersendiri dengan gaya sapuan warna yang menarik.

Yusri menambah, setiap tajuk lukisan yang dipilih sebenarnya perkataan yang sering dipertuturkan di kalangan Orang Asli.

“Ini kerana bahasa mereka begitu unik untuk difahami,” jelasnya.

Menerusi lukisan Kantan, Yusri melakarkan sapuan akrilik atas kanvas pada sejenis bunga yang menjadi makanan Orang Asli.

“Lukisan Kakay pula bererti kawan manakala Sekul bermaksud sarung kepala dan Pak Belalang menggambarkan harimau,” katanya.

Tambah Yusri, setiap sapuan warna pada latar sesebuah karya itu menunjukkan kesan daripada penindasan serta kemusnahan hutan dan ia dilukis sedemikian berbeza daripada lukisan biasa,” katanya lagi.

Beliau berasal daripada Sungai Siput, Perak merupakan bekas pelajar dalam bidang kesenian daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Yusri terlibat dengan pelbagai pameran solo dan berkumpulan sejak 1996.

Beliau pernah mendapat anugerah Honourable Mention sempena Philip Morris Art Awards (2003) dan pemenang pertama Best of Orchids in Art-Fine Arts sempena Persidangan Orkid Dunia yang ke-17 pada 2002.

Kesemua lukisan yang dipamerkan itu berharga antara RM2,800 hingga RM9,800 sebuah.