Utusan, 2 April 2007
Biring ikonografi kebudayaan Melayu
oleh Azman Ismail

YUSOF Ghani di samping salah sebuah karyanya yang dipamerkan pada pameran solo Biring di Galeri Wei-Ling, Kuala Lumpur hingga Khamis ini.

YUSOF Ghani di samping salah sebuah karyanya yang dipamerkan pada pameran solo Biring di Galeri Wei-Ling, Kuala Lumpur hingga Khamis ini.

DIA bermula dengan siri Tari pada 1987. Kemudian diteruskan dengan Topeng (1995), Wayang (1998), Hijau (2000) dan Segerak (2003) yang memperlihatkan suatu kematangan dalam tempoh lebih dua dekad berkarya selain sebagai pendidik dalam bidang seni tampak.

Semuanya merupakan cetusan idea yang lahir daripada mitologi dan pemikiran budaya masyarakat Melayu tradisonal yang dibentuk oleh alam serta persekitaran mereka.

Terbaru, pelukis Yusuf Ghani kembali tampil dengan siri terbarunya, Biring (2006), sebuah tema yang tetap mengekalkan imej budaya serta pemikiran Melayu dan Asia Tenggara.

Berbeza dengan siri Topeng misalnya, yang memperlihatkan satu pandangan gabungan pemahaman agama dan nilai-nilai budaya Nusantara, serantau yang terperinci dan lengkap, Biring merupakan kenyataan visual tentang ikonografi kebudayaan Melayu.

Ia menceritakan segala-galanya tentang masyarakat Melayu. Ayam laga itu sendiri mencerminkan keindahan nilai tetapi pada masa yang sama tersimpan jati diri dan ciri-ciri kepribadian mereka.

Perlu diketahui, Yusuf adalah pelukis abstrak ekspresionisme. Oleh itu, gaya tersebut dikekalkan dalam siri terbarunya itu. Warna, sapuan berus dan gestural menceritakan kepada khalayak, makna sebenar tentang Biring.

Biring merupakan ayam laga dalam budaya masyarakat Melayu dan Asia Tenggara. Malah, lebih dari itu, haiwan itu dianggap mempunyai nilai-nilai spritual yang berhubung rapat dengan unsur dewa serta alam ghaib.

Pemilihan subjek ayam biring dalam siri terbaru itu mengingatkan kita karya-karya ekspresionisme pelukis terkenal di negara jiran, Raden Salleh Sjarif Bestaman (1807-1880).

Pelukis legenda Indonesia tersebut juga mengambil ayam laga dalam beberapa karyanya. Ia antara lain untuk memperlihatkan nilai estetika haiwan itu yang sinonim dengan kehidupan masyarakat Jawa tradisional.

Ayam laga melambang status dan ‘keperwiraan’ seseorang, malah dianggap menonjolkan legitimasi kerajaan-kerajaan tradisional Jawa.

Bagi Biring dalam pengertian Yusuf sedikit berbeza. Kehebatan dan kedudukan haiwan itu diterjemahkan dalam konteks seni tetapi tetap berhubungkait dengan elemen-elemen budaya dan pemikiran sejagat.

Pameran 54 karya siri terbaru yang dipamerkan di Galeri Wei-Ling, Kuala Lumpur hingga Khamis ini membawa khalayak mengembara kepada makna Biring dalam konteks masyarakat Melayu dan tradisionalisme Nusantara.

Menelusuri lebih jauh tentang karya-karya terbaru ini, Yusuf bukanlah seorang pelukis abstrak ekspresionisme ortodoks. Dengan kata lain, beliau tetap menekankan kewujudan imejan pada kanvas.

Subjek
Tetapi ia berbeza dengan gaya yang diketengahkan oleh pelukis-pelukis aliran sama seperti Andy Warhol yang lebih mengarah kepada gaya Pop Art iaitu mengutamakan subjek pada kanvas.

Pada masa yang sama, beliau terpisah dari aliran atau gaya yang diketengahkan oleh pelukis-pelukis seperti Mark Rothko, Paul Newman atau pelopor ‘ortodoks’ aliran itu seperti Jackson Pollock dan Willem de Kooning.

Pada umumnya karya-karya ekspresionisme ortodoks menampilkan catan menonjolkan kesan gestural yang besar serta spontan dan sesekali berubah menjadi kecil, seterusnya hilang bersama latar karya.

Warna-warna yang digunakan juga kontras hingga membentuk komposisi yang bercelaru dan tidak teratur serta saling bertindih.
Berbeza dengan setiap karya dalam siri Biring. Ia tetap memperlihatkan imejan yang ‘tidak sempurna’ tetapi mampu menceritakan tentang estetika haiwan itu.

Pendekatan tersebut secara langsung membezakan gaya sapuan berus dan tekstural pada kanvas berbanding dengan karya-karya abstrak ekspresionisme umumnya.

Karyanya, Biring II (2006) misalnya, susunan dan sapuan berus yang teratur pada permukaan kanvas membentuk imej ayam biring menimbulkan ritzma dan keindahan sebenar karya-karya ekspresionisme.

Dalam Biring XXXVIII pula, ia memperlihatkan kelainan tersendiri. Berbanding dengan karya-karya lain yang menggunakan catan yang lembut dan warna yang tersusun, lukisan ini menampilkan warna-warna kontras dan mendekati ekspresionisme ortodoks.

Warna merah begitu dominan dengan imej kecelaruan dan pergerakan emosi pelukis dalam menyampaikan mesej visual kepada khalayaknya. Pendekatan yang sama turut terlihat dalam Biring III (2006).

Bagi Yusuf, siri Biring tersebut adalah sebuah simbolisme budaya masyarakat (Melayu) yang melahir dan memayungi kehidupannya di negara tercinta ini.