Utusan, 20 April 2006
Keroncong Series pameran seni visual kontemporari
oleh Ani Awang
Pelukis Sabri Idrus telah mengadakan pameran solo seni visual yang amat jarang diterokai di negara ini pada pameran Keroncong Series yang telah berlangsung di Wei-Ling Gallery di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Karya yang dipamerkan itu menggunakan bahan-bahan daripada besi, aluminium, zink, cermin, lampu dan plastik warna.
Menurut Sabri, 35, Keroncong Series menampilkan seni visual yang menggambarkan irama keroncong, salah satu kesenian Melayu yang terkenal pada abad ke-15.
“Saya gabungkan kesemua bahan mentah itu untuk menjadikannya sebuah karya seni ritual kontemporari yang menarik.
“Bahan mentah itu dihiasi dengan campuran warna-warna biru, hijau, kuning dan merah serta menggunakan lampu di belakang karya bagi mewujudkan suasana ceria dan menarik seperti irama dalam lagu keroncong.
“Saya cuba tampilkan muzik tradisional keroncong sebagai ritual dalam karya saya ini, bukannya dalam bentuk penulisan dan syair,’’ kata Sabri yang pertama kali menggunakan teknik itu dalam karyanya pada pameran tersebut.
Menurut Sabri, dia menggunakan bahan-bahan tersebut kerana ia merupakan karya seni yang tidak pernah dilakukan oleh pelukis-pelukis di Malaysia.
“Saya mengambil masa dua tahun untuk mengkaji dan membuat reka bentuk ini.
“Proses membuat karya ini berlapis-lapis dan ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat sebelum ia siap dengan sempurna,’’ tambah beliau.
Sabri yang kini bertugas sebagai pelukis sepenuh masa menjelaskan, setiap tajuk-tajuk yang diketengahkan pada karyanya itu menggunakan lirik-lirik dalam lagu keroncong.
“Saya meminati lagu-lagu keroncong dan mahukan siri ini menjadi karya yang sinonim pada khalayak kerana ia merupakan isu-isu budaya dalam kehidupan kita,’’ katanya.
Antara tajuk yang dipamerkan itu adalah Sejenak Terkenang, Peristiwa Kisah Ini, Bulan Itu, Sejak Di Batas Kota, Di Kala Kalbu, Sekilas Memandang, Pertemuan Malam Ini, Sepanjang Jalan Kenangan, Kini Mekar Kembali, Sedang Pilu, Enggan Untuk Pulang dan banyak lagi.
Sabri sebelum ini pernah muncul dengan karya seperti Dalam Yakin Tak Yakin dan Lorek-Lorek (2004) dan Bangau Oh Bangau I dan II pada 2005.