Utusan Malaysia, 28 May 2007
Filtered sinisme dan himpunan catatan visual
oleh Azman Ismail

Marvin Chan yang turut mengambil bahagian pada pameran Filtered.

Marvin Chan yang turut mengambil bahagian pada pameran Filtered.

“SAYA melihat media merupakan cermin kepada sikap masyarakat. Tetapi seringkali ia dijadikan medium oleh individu-individu yang tidak bertangungjawab untuk memaparkan kebaikan mereka padahal sebenarnya ada maksud yang tersurat dan tersirat.

“Dengan catan dan objek pada kanvas ini saya cuba memperbetulkan persepsi masyarakat kita bahawa media itu tidak pernah bersalah. Tetapi ada individu dibelakang yang memanipulasinya.”

Demikian ungkap pelukis Marvin Chan tentang tiga karya catannya yang dipamerkan pada pameran bersama Filtered di Wei-Ling Gallery, Jalan Brickfield, Kuala Lumpur hingga 15 Jun ini.

Turut mengambil bahagian pada pameran tersebut ialah Zulkifli Yusof, Hasnul Jamal Saidon, Anurendra Jegadeva, Hamir Soib, Ahmad Syukri Mohamed, Sabri Idrus, Noor Azizan Rahman Paiman, Ivan Lam, Roslisham Ismail dan Khairul Azmir Soib.

Ketiga-tiga karya Marvin pada pameran itu, Immaculate Politician, Perpetual Child dan The Evil Good-Doer memperlihatkan wajah manusia pada kanvas dengan muka seperti teddy bear, arnab dan badut yang melucukan.

Wajah-wajah tersebut adalah simbol daripada refleksi manusia yang diciptakan oleh media angkara ada segelintir mereka yang tidak bertanggugnjawab.

Marvin tidak bereksperimen dari teknik di permukaan kanvas. Sebaliknya beliau melemparkan kritikan sosial yang berani dengan idealisme yang diketengahkan.

Marvin melihat secara sinis perlu ada penapisan supaya nama baik media tidak disalahgunakan. Ia memberi gambaran seolah-olah masyarakat sering dibohongi oleh individu berkenaan.

Namun, persoalannya sejauh mana nilai sesuatu komoditi, media atau apa sahaja yang ditapis? Adakah ia menjadi lebih baik atau malah tidak lagi diterima oleh masyarakat kita?

Karya Roslisham Ismail yang menggunakan pendekatan seni cetakan (printmaking) mungkin menjawab persoalan itu. Tidak semua apa yang dieksport adalah yang baik serta bermutu.

Berdasarkan poster tawaran hadiah terhadap pemberian maklumat hingga tertangkapnya penjenayah Nordin Md. Top yang ditemukan di Indonesia, Roslisham mentafsirkan makna tapisan dalam karyanya Export.

“Sesuatu yang kontra. Biasanya apa yang dieksport adalah sesuatu yang baik, berkualiti dan sempurna tetapi Nordin dan Dr. Azahari Hussin adalah ‘eksport’ yang tidak baik.

“Sebab itu dalam pengertian yang tidak langsung, kadang-kadang kita mengeksport produk yang kurang baik,’’ katanya.

Sabri Idrus pula mungkin agak ekstrem dalam memperkatakan makna tapis yang merujuk kepada penapisan filem, penerbitan, lagu dan sebagainya.

Dengan mendekati konsep pop art, beliau keluar daripada kebiasaan dengan menggunakan fabrik bagi menggantikan kanvas dan kopi, polister dan plastik untuk mengantikan warna biasa.

Dia bereksperimen dalam karya Tapis tersebut. Garis-garis geometri merupakan simbol-simbol yang mungkin sinonim dengan perundangan dan peraturan tertentu.

Toil/VSOP karya Ivan Lam mungkin mempunyai kekuatan tersendiri dalam memperkatakan beberapa isu terkini seperti kadar tol dan peranan artis (penggiat seni).

Isu-isu tersebut digabungkan dalam satu karya. Malah, Toil/VSOP merupakan lukisan dua sisi iaitu kedua-dua digambarkan untuk menjelaskan persoalan yang disentuh.

“Dalam isu tol kita tidak pernah tahu apa yang ada di sebalik kenaikan yang mungkin membebankan sesetengah pengguna. Hak kita hanya membayar tol dan memandu. Tidak akan lebih dari itu.

“Saya cuba memecahkan persoalan ini dalam pengertian peribadi dan saya juga turut merasakan, orang lain mungkin turut berfikir perkara yang sama. Adakah hak kita hanya membayar tol dan memandu?,’’ katanya.

Sementara itu, pelukis veteran, Zulkifli Yusoff menyuarakan imej ketakutan dan kebimbangan tentang pemikiran sempit segelintir masyarakat negara ini yang melakukan beberapa tindakan negatif dalam memperjuangkan politik.

Reformasi (2007) ditampilkan sebagai karya abstrak ekspresionisme dengan sapuan catan kasar, spontan dan warna yang berlapis-lapis tanpa imejan di kanvas.

Dua lagi karya Zulkifli pada pameran itu, Amok Di Pasir Salak 2 dan Lucky Day lahir daripada pembacaan buku Malay Sketches karya Frank A. Sweetenham (1895).

“Saya mempelajari dan menimba karakter yang dijelaskan oleh Sweetenham dan kemudian menterjemahkan ke atas kanvas.

“Melalui pembacaan ini saya kembali merindui zaman ketika menjadi pelukis dahulu berbanding dengan kedudukan sekarang sebagai ahli akademik. Kerinduan itu sedikit sebanyak saya tuangkan pada kanvas,’’ katanya.