Utusan Malaysia, 24 September 2007
Okir papar falsafah pemikiran masyarakat Melayu
oleh Azman Ismail
AYAM dalam kehidupan masyarakat Melayu dan Nusantara tradisional sangat erat. Haiwan tersebut menjadi elemen atau simbol yang mewakili pemikiran dan proses kehidupan mereka.
Akhirnya daripada permerhatian terhadap haiwan tersebut melahirkan simpulan bahasa, perumpamaan dan sebagainya yang kekal hingga ke hari ini.
Haiwan itu telah melahirkan pepatah dan simpulan bahasa seperti cakar ayam, kaki ayam, ajak-ajak ayam, tidur-tidur ayam serta sekitar 16 lagi perumpamaan berhubung haiwan itu dalam masyarakat Melayu tradisional.
Namun, persoalannya, haiwan tersebut sering diberi label yang negatif walaupun keterdekatannya dengan masyarakat Melayu tradisional begitu erat. Ia seolah-olah ayam adalah binatang yang pengotor dan sebagainya.
Namun, di sisi lain, ayam mempunyai keunikannya tersendiri. Bukan sahaja daripada struktur fizikalnya tetapi mampu melontarkan falsafah dan kerangka pemikiran masyarakat yang memeliharanya.
Persoalan falsafah dan kerangka pemikiran inilah yang cuba diketengahkan oleh pelukis Muhd. Juhari Muhd. Said dalam pameran solo terbarunya, Okir yang berlangsung di Galeri Wei-Ling, Kuala Lumpur hingga 17 Oktober ini.
Namun, adakah karya-karya terbaru Muhd. Juhari tersebut merupakan sebuah pemberontakan? Ini dapat dilihat dari dua aspek; Pertama, imej negatif terhadap binatang itu yang sering dilabelkan oleh masyarakat Melayu.
Kedua, ia seolah-olah membantah tentang kemusnahan beberapa spesies-spesies tertentu ayam seperti ayam hutam akibat pertembungan hegemoni yang dicetuskan di atas nama pembangunan.
Pada masa yang sama, beliau cuba menunjukkan bahawa seni tampak dapat dipersembahkan dalam pelbagai perspektif dan medium termasuk menggunakan ukiran kayu.
Dewasa ini di Malaysia, kita berada dalam satu wacana yang membicarakan tentang apa itu seni yang akhirnya menimbulkan perdebatan. Agak malang, ia berakhir dengan perbezaan kriteria seni itu sendiri.
Sebenarnya perbezaan dan pemecahan pengertian ini tidak pernah disedari oleh pengkritik-pengkritik seni tampak tempatan, misalnya kewujudan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Istilah seni lukis dan seni reka dipecahkan berdasarkan kepada dua pengertian, padahal kedua-duanya bertitik-tolak di atas satu landasan seni.
Perbezaan tersebut mungkin bermula daripada perdebatan antara pemikir, Theodore Adorno dan Walter Benjamin sejak awal 1980-an di Eropah.
Seni dan seni reka pada masa itu dipisahkan oleh pengertian seni tinggi dan seni rendah. Dalam seni tinggi ini, seorang seniman tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor eksternal dalam menciptakan sebuah karya seni. Sedangkan seni rendah adalah seni yang dalam penciptaannya dipengaruhi oleh faktor eksternal.
Adorno menganggap seni harus berbeda dengan seni lain. Ia harus mempunyai sesuatu nilai yang autonomi. Pandangan itu dibahas dengan terperinci dalam tulisannya Culture Industry yang membezakan antara seni tinggi dan seni rendah.
Oleh demikian seni yang memiliki nilai ‘tinggi’ itu tidak sekadar menjadi sebuah komoditi kerana sebuah karya atau benda dalam bentuk skala besar akan menghancurkan semangat humanisme.
Pola produksi barang yang menjadi komoditi adalah pola yang ditentukan oleh seseorang pengeluar sehingga apa yang dipilih oleh masyarakat luas tidak sepenuhnya berdasarkan kehendak mereka.
Sebaliknya, Benjamin menganggap pola tersebut adalah bentuk penggiat seni tampak yang berfikiran sempit dan berorientasi pada elitisme seni.
Sebagai pelukis yang berpengalaman lebih 25 tahun, Muhd. Juhari cuba mengelakkan perdebatan tersebut tanpa beliau sendiri menyedarinya.
Setelah menekuni karya pada dada kanvas sekitar dua dekad, Okir merupakan keterbukaan seni Muhd. Juhari untuk menyatakan setiap unsur di muka bumi ini adalah objek seni. Juga, tidak ada konsep elistisme dalam seni.
Sesiapa sahaja boleh berkarya dengan medium yang disukai. Mitos elitisme seni tersebut diketepikan. Di permukaan kepingan kayu, beliau mengeksploitasi makna dan falsafah ayam, sekali gus memperlihatkan nilai-nilai intelektual masyarakat Melayu tradisional.
Kenyataan visual menggunakan subjek ayam itu pastinya sebuah perspektif lain daripada makna haiwan itu dalam konteks pemikiran segelintir masyarakat Melayu tradisional di Nusantara.
Perkembangan awal di Nusantara menunjukkan bahawa ayam turut digunakan dalam pemujaan dan kemudian pada jenis kegiatan keagamaan yang lain.
Kalau memetik pandangan Walter Benjamin, sesebuah karya seni itu sendiri turut merupakan sebahagian daripada proses ritual. Misalnya, lukisan pada dinding gua adalah objek pemujaan.
Dalam tulisannya, The Work Of Art In The Age Of Mechanical Reproduction, Benjamin mengatakan bahawa pada prinsipnya sebuah karya seni tampak selalu bermula dengan pemikiran masyarakat.
Justeru Muhd. Juhari melihat ayam sebagai sebuah wacana intelektual dan keilmuan Melayu yang bernilai tinggi. Ayam sama ada jantan atau betina merupakan manifestasi daripada jiwa, pemikiran dan mungkin juga proses ritual masyarakat Melayu tradisional.
Dari aspek pendekatan kreatif, ada unsur spontaniti pada karya-karyanya. Ia tentunya berkaitan dengan nilai-nilai kesederhanaan dan latar belakang beliau sewaktu kanak-kanak yang membesar di Kampung Sungai Itik, Gopeng, Perak.
Ayam yang menjadi sosok kreatifnya, diciptakan dalam bentuk sisi-sisi yang terpotong-potong belaka. Ia mendekati gaya abstrak ekspresionisme iaitu tidak ada gambaran subjek secara utuh.
Namun, dengan lorekan-lorekan warna pada ukiran yang kontra membentuk bulu ayam (kadang-kadang hanya gambaran kepala) sudah cukup untuk memberi pemahaman kepada khalayak.
Lalu, kenapa Muhd. Juhari hanya mengukir hanya bulu-bulu ayam, moncong atau sekadar kepala? Ayam sudah terlalu dekat dalam masyarakat Nusantara dan dalam konteks desa, ayam adalah binatang yang paling banyak diternak.
Dengan hanya sehelai bulu sahaja, seseorang dapat membayangkan bagaimana rupa, bentuk dan karakter-karakter seekor ayam.
Kenyataan Muhd. Juhari melalui seekor ayam dalam karya terbarunya itu mengingatkan kita pada novel yang sangat menarik karya George Orwell, Animals Farm.
Melalui binatang-binatang, Orwell, mengkritik sosialisme dengan mengolah fakta tentang aliran itu dengan sempurna sambil menunjukkan kelemahan-kelemahannya.
Orwell membuktikan bahawa haiwan-haiwan menyediakan begitu banyak karakter untuk memperluas dan memperdalam renungan serta kritikan terhadap sesuatu isu.
Persoalan inilah yang cuba diperkatakan oleh Muhd. Juhari. Ayam bukan sahaja memaparkan estetika tetapi merupakan sebuah wacana pemikiran dan falsafah masyarakat Melayu.