MOnline, 14 November 2005
Pameran fotografi “Instantly Involved”

Binatang-binatang peliharaan bukanlah sekadar teman pengubat sepi atau penghibur di waktu sunyi tapi satu komitmen yang serius. Ramai yang suka membela binatang peliharaan yang comel, tapi tidak ramai yang sedar, binatang juga mempunyai perasaan. Suka duka inilah yang cuba dipersembahkan oleh Debra Tan dalam pameran beliau bertajuk Instantly Involved.

Gambar seekor kucing (foto: Debra Tan)

Gambar seekor kucing (foto: Debra Tan)

Selain dari memaparkan portfolio fotografinya, pameran ini juga merupakan satu platform untuk membina kesedaran dan mengumpul dana untuk Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA), salah satu sebab kenapa Debra mencuba untuk memahami ikatan yang amat istimewa di antara si ‘tuan’ dan binatang peliharaan mereka.

Menurut Debra, fotografi bukanlah tentang kamera tapi subjek dan reaksi mereka terhadap sesuatu situasi dan terhadap mereka sendiri. Beliau berasa bersatu dengan subjeknya yang disifatkan sentiasa bergerak dan berubah. Tapi setiap detik, mood dan pergerakan dapat diabadikan dalam fotograf.

Lim Wei-Ling, pengasas galeri Townhouse Gallery yang ditubuhkan pada 2002 di Bangsar tertarik untuk mengadakan satu pameran setelah melihat portfolio fotografi Debra yang terdiri dari gambar-gambar binatang peliharaan dalam tataan hitam putih yang amat menyentuh perasaan.

Untuk pameran solo pertama ini Debra menggunakan proses digital sepenuhnya dari peringkat rakaman imej sehinggalah kepada cetakan, lanjutan dari pengajiannya dalam bidang cetakan seni halus digital di New York. Fokus Debra pada potret fotografi alam sekitar akan membolehkan pengunjung memerhatikan hubungan subjek-subjeknya dalam habitat semulajadi mereka. Karya-karya ini dilahirkan tanpa struktur khusus dan pendekatan Debra hanyalah intuisi beliau. Sebab itulah gambar-gambarnya tampak ekspresif, asli dan spontan.

Melihatkan semangat dan kesungguhan Wei-Ling dan Debra untuk berbakti kepada masyarakat, Instantly Involved dilahirkan dengan matlamat untuk mengumpul dana melalui seni. Seterusnya, 48 keping cetakan hitam putih berjaya dihasilkan dengan kerjasama bank ABN AMRO dan 24 orang pemilik binatang peliharaan yang mengambil bahagian dalam projek ini.

Sebab itulah Wei-Ling dan Debra berharap anda akan mendapat inspirasi baru dari gambar-gambar yang dipamerkan dan menderma dengan membeli kalendar 2006 edisi terhad berharga RM38 setiap satu. Kesemua hasil jualan akan disalurkan ke akaun SPCA ABN AMRO Bank.

Pameran akan berlangsung pada 26 November 2005 sehingga 6 Disember 2005. Kalendar edisi terhad akan dijual di Wei-Ling Gallery dan di SPCA.

Wei-Ling Gallery
8 Jalan Scott, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur.
Tel: +6017-887 7216, +6019-604 1815, +603-2260 1106
E-mel: dwht@yahoo.com
Isnin – Jumaat: 12pm – 7pm
Hujung minggu: Dengan temujanji sahaja

SPCA
SPCA Selangor, Jalan Kerja Air Lama, 68000 Ampang, Selangor, MALAYSIA.
Tel: +603-42565312, 42535179
Faks: +603-42528382
E-mel: spca@streamyx.com