Utusan Melayu, 26 January 2006
Pelukis Muda tonjolkan karya kontemporari
oleh Ani Awang

No Sleep Series Red Pillow II.

No Sleep Series Red Pillow II.

KEMUNCULAN pelukis muda dalam mengetengahkan karya kontemporari mampu memperkayakan khazanah seni tampak di negara ini.

Menyedari hakikat itu, tiga pelukis muda, Cheong Tuck Wai, Low Lee Peng dan Ng Geok Hwa mengadakan pameran berkumpulan di Wei-Ling Gallery, Brickfields di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mereka mengetengahkan karya kontemporari secara abstrak dan semi abstrak pada pameran tersebut.

Pelukis muda Tuck Wai, 27, menampilkan 10 buah karya menarik menggunakan cat minyak atas kanvas pada pameran tersebut.

Dalam karya No Sleeps Series, beliau menggunakan aliran realistik bagi menggambarkan suasana dalam bilik yang cantik di sebuah rumah.

“Saya menggunakan warna hijau kerana ia melambangkan kecantikan ketika wanita berada dalam bilik,” katanya ketika ditemui di galeri itu.

Tuck Wai amat bijak bermain warna menggunakan objek wanita sedang tidur dalam sebuah bilik.

Baginya wanita itu mempunyai kecantikan yang asli.

Beliau adalah lulusan Diploma Seni Halus dari Akademi Seni Kuala Lumpur pada 2003.

Tuck Wai pernah mengadakan pameran berkumpulan dan solo sejak 2002.

Lukisan yang dipamerkan itu dijual pada harga RM1,800 hingga RM4,000.

Ng Geok Hwa, 25, pula tampil dengan karya Siri Form I – VIII pada pameran tersebut.

Beliau menjadikan objek wanita yang cantik sebagai karya semi abstrak yang menarik.

“Saya melukis objek wanita tidak memakai pakaian dan wanita sememangnya cantik untuk dipandang di mana-mana sahaja,” tambahnya.

Karya Geok Hwa itu menggunakan warna-warna lembut. Keseluruhan karyanya menggunakan cat minyak pada kanvas.

Ia dijual pada harga antara RM2,800 hingga RM3,500 setiap satu.

Low Lee Peng, 26, pula muncul dengan beberapa karya menarik seperti Waiting, Dream, Package dan Wooden House 1 dan 11.

Dalam karya Wooden House 1, beliau begitu teliti menampilkan campuran banyak warna hijau dan biru.

“Warna hijau dan biru lebih tenang apabila saya melukis karya cat minyak atas kanvas.

“Saya melukis rumah warisan yang sesetengahnya sudah tidak wujud di negara ini dan kerana itu ia penting ditatap oleh khalayak seni,” kata pemegang Diploma Seni Halus dari Akademi Seni Kuala Lumpur pada 2003 itu.