20 November 2006
Rahsia menarik di sebalik karya figura manusia
oleh Ani Awang
SEBANYAK 13 pelukis mengadakan pameran berkumpulan Mind Body & Soul yang sedang berlangsung di Wei-Ling Gallery, Kuala Lumpur hingga 23 November ini.
Pameran itu melibatkan figura dalam pelbagai gaya dan kebolehan pelukis melakarkan seni masing-masing dalam pelbagai medium.
Antara pelukis terlibat ialah Yusof Ghani, Jailani Abu Hassan, Anurendra Jegadeva, Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Fuad Osman, Hamir Soib, Chan Kok Hooi, Phuan Thai Meng, Chin Kong Meng, Soraya Yusof Talismail, Cheong Tuck Wai, Yakup Mohd. Rafee dan Mohd. Hairi Yaakub.
Pelukis Ahmad Fuad Osman, 37, mengenengahkan karya figura manusia sebagai lakaran hasil daripada pengamatannya di Korea Selatan sejak setahun lalu melalui karyanya Awan Merah Dalam Kenangan Palsu.
“Saya melukis watak seseorang memegang tengkorak di tangan kanan sebagai lambang kehidupan dan pencemaran persekitaran.
“Bagaimanapun karya ini mempunyai pelbagai maksud yang tersirat di sebalik watak yang ditampilkan,” katanya ketika ditemui di Wei-Ling Gallery di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kata Ahmad Fuad lagi, karya Awan Merah Dalam Kenangan Palsu boleh juga ditafsirkan bahawa manusia juga boleh menjadi pembunuh.
“Setiap karya insan seni mempunyai imejan yang boleh disesuaikan dengan kehidupan yang dialami khalayak,’’ kata pelukis dari Melaka itu.
Pelukis, Hamir Soib, 37, pula menampilkan dua karya iaitu Man In The Clouds dan Perempuanku.
Karya Perempuanku memperlihatkan lakaran rambut dan wajah seorang wanita.
Kata pelukisnya: “Perempuanku memberi gambaran bahawa kaum wanita harus lebih berhati-hati membuat tindakan kerana tersilap langkah mungkin akan menghadapi masalah.”
Bagaikan menyambung pengertian di sebalik karya Perempuanku, karya Man In The Clouds pula memberi gambaran suatu kehidupan yang terapung-apung.
Phuan Thai Meng, 32, pula mengetengahkan karya Where Do You Want To Go.
Jelas pelukisnya, karya itu menampilkan figura manusia boleh menjadi robot pada masa depan.
“Ini adalah imejan saya mengenai kehidupan manusia pada masa depan dalam bentuk cetakan warna di atas kertas,’’ katanya yang kini menjadi guru seni lukis di Kuala Lumpur.