Utusan Malaysia, 1 April 2008
Seni Kanvas, catan dan tampak

Marvin Chan (kiri) dan Liong Mei Yong bersama hasil karya mereka.

Marvin Chan (kiri) dan Liong Mei Yong bersama hasil karya mereka.

Konsep kanvas dan catan yang popular di kalangan pelukis profesional turut digunakan oleh pelukis-pelukis lain selain di Gajah Gajah Gallery.
Namun ia ditampilkan dengan tema lukisan yang berbeza bagi setiap pelukis.
Bagi pelukis Marvin Chan, beliau yang mempunyai agenda tersendiri iaitu dengan penggunaan catan dan objek pada kanvas, cuba memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap media.
Antara karya catan Marvin ialah Immaculate Politician, Perpetual Child dan The Evil Good-Doer yang memperlihatkan wajah manusia pada kanvas dengan muka seperti teddy bear, arnab dan badut yang melucukan.
Ia telah dipamerkan di Wei-Ling Gallery, Jalan Brickfield, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Wajah-wajah tersebut adalah simbol daripada refleksi manusia yang diciptakan oleh media angkara ada segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab.
Marvin tidak bereksperimen daripada teknik di permukaan kanvas. Sebaliknya beliau melemparkan kritikan sosial yang berani dengan idealisme yang diketengahkan.
Sementara itu, sebagai mendukung seni lukisan di Malaysia supaya ia tidak pupus dek zaman serta arus kemodenan teknologi, konsep seni tampak juga menjadi elemen penting yang ditonjolkan di pameran bersama pelukis-pelukis muda dan senior, Aspect of Malaysian Arts yang berlangsung di Galeri RA baru-baru ini. Ia cukup menarik untuk diperkatakan dalam konteks hubungan kedua-dua generasi seni ini.
Dengan tawaran bahasa visual, memperlihatkan muncul kerencaman seni tampak. Ia ekoran daripada keberadaan dua kelompok penggiat iaitu generasi lama dan pelukis baru.
Kedua-dua generasi itu saling berhubungan dan wujud sebagai sebuah kesatuan penggiat yang sangat menarik. Mereka kadang-kadang ‘berlumba’ untuk mencipta kemantapan hasil gabungan kreativiti dan pemikiran.
Karya-karya seni tampak kontemporari Malaysia mengekori dan mewacanakan realiti dengan begitu kukuh. Seni diletakkan sebagai medium ungkapan sebuah kenyataan.
Ia berkait rapat dengan pelbagai perkembangan bahasa visual di kalangan penggiat-penggiatnya.
Sentuhan bersifat artistik lebih mengarah pada upaya memperkaya bahasa ekspresi daripada kecenderungan menganut dasar pemikiran estetikanya.
Justeru itu, pengaruh unsur tradisi pada seni tampak moden Malaysia menjadikan karya-karya yang lahir begitu kaya dengan idealisme dan gagasan.
Kesemuanya ini sememangnya mempunyai nilainya yang tersendiri.